Ya, ini bukan pertama kali kita dengar, malahan dah bertahun ramai yang kata bahawa industri hartanah akan merosot teruk; tapi sampai sekarang belum ada tanda-tanda lagi. Ini dibuktikan dengan kewujudan beberapa hartanah kategori mewah dan sederhana mewah tumbuh bak cendawan, hatta di kawasan yang telah padat dengan pembangunan.
5 Point Industri Hartanah Malaysia Bakal Merudum Pada 2018
Benarkah industri hartanah di Malaysia akan merudum pada tahun 2018? Jom kita ikuti ulasan Dr. Ernest YY Cheong, seorang jururunding dan ‘chartered property surveyor’ dengan pengalaman lebih daripada 40 tahun. Beliau berkata bahawa industri hartanah pada tahun 2018 bakal kelihatan suram, di mana pemaju dan pemilik rumah bakal berdepan kepayahan untuk mencari pembeli.
Pembeli Tidak Mampu Beli Rumah
Umum tahu rakyat sekarang berdepan dengan situasi sukar dengan keadaan ekonomi yang suram dan tidak memberangsangkan. Kurangnya kuasa berbelanja di kalangan orang ramai membuatkan mereka berfikir panjang sebelum membuat komitmen seperti membeli rumah.Tetapi hakikatnya, Bank Negara Malaysia turut mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Malaysia memang tidak mampu untuk membeli rumah; disebabkan gaji rendah dan kekurangan rumah harga mampu milik.
Menurut Dr. Ernest, harga rumah bakal jatuh seawal Tahun Baru Cina pada Februari 2018. Benar atau tidak akan fakta dikemukakan ini, kita tunggu sahaja apa bakal berlaku pada tempoh dinyatakan.
Banyak Unit Siap Tetapi Tidak Terjual
Terdapat peningkatan sebanyak 40% bagi unit tidak terjual bagi separuh tahun pertama 2017 dengan 20,807 unit yang berjumlah RM12.26 bilion. Kalau kira harga purata, seunit rumah yang tidak terjual berharga RM589,224.Ini unit-unit yang tidak terjual daripada pelancaran baru daripada pihak pemaju.
Ini belum mengambil kira rumah yang ingin dijual pemilik, yang kata Dr. Ernest mencecah RM4 bilion. Kesudahannya, RM16 bilion nilai hartanah tidak terjual kerana pembeli tidak mampu membelinya. Satu angka yang agak mengejutkan buat sebuah negara yang sedang dalam proses menuju ke arah status negara maju.
Pembiayaan Projek Kepada Pemaju Jadi Sukar
Baru tahu rupanya pemaju perlu menjual sekurang-kurangnya 40% bagi memastikan mereka mendapat pembiayaan sepatutnya daripada pihak bank. Anda tentu sedar akan hal ini. Lihat sahajalah pelbagai promosi yang hebat dan tawaran sangat menarik diberikan pemaju perumahan.Kerana takut pembiayaan daripada institusi kewangan ini tidak lagi layak diberikan, pastinya akan membuatkan syarikat pemaju gulung tikar, dan projek tergendala. Sekarang anda tahu kenapa pihak pemaju sangat beria-ia membenarkan pembeli meletakkan hanya 1% deposit, termasuk diskaun dan lain-lain barangan percuma seperti kabinet dapur, penghawa dingin, tempat letak kereta percuma dan sebagainya.
Awas !! Di sinilah bermulanya bahaya, kerana apa? Ini adalah kerana pengguna sudah tiada kemampuan untuk membeli rumah, dan pada masa sama juga pemaju yang bakal menyiapkan projek, melakukan apa sahaja untuk melariskan jualan sehingga menjerat bakal pembeli.
Senang kata, bekalan dah melebihi permintaan, maka secara semulajadinya harga akan mula turun.
Harga Hartanah Bakal Jatuh
Mungkin kenyataan ini satu berita baik untuk golongan usahawan hartanah yang baru nak bermula. Dikatakan, harga rumah bakal turun ke paras yang mampu dimiliki oleh pembeli pada tahun 2018. Banyak rumah bakal dilelong kerana ramai yang tidak mampu membayar dek terjerat dengan skim pembiayaan yang ditawarkan pemaju selain daripada promosi-promosi yang diberikan.
Samada anda sedar atau tidak, dua tiga tahun lepas, sudah kelihatan trend beli rumah tanpa deposit, cuma perlu bayar apabila rumah dah siap. Dan kini rumah tersebut bakal siap, dan ramai pembeli bakal ‘tersangkut’ dengan rumah baru mereka itu.
Harga rumah yang dulunya RM500,000 bakal jatuh menjadi RM300,000 seunit kelak.
Sewa Rumah Jika Tak Mampu Beli
Dr. Ernest menyarankan rakyat Malaysia jangan beli rumah terlebih dahulu melainkan mereka mampu menyimpan RM1,000 sebulan selama setahun. Ini bagi membolehkan mereka mempunyai tabung kecemasan sekiranya mereka kehilangan kerja dan punca pendapatan.“Tidak seharusnya beli hartanah tergesa-gesa pada masa sekarang. Cuba menyewa dulu.” - Dr. Ernest.
Sumber: Majalah Labur
Post a Comment