Volkswagen, jenama ini bukan kaleng-kaleng ya, ia dah lama wujud malah sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Jenama automotif dunia berasal dari Germany ini mempunyai kisah sejarahnya yang unik, malah berliku sebelum dikenali dan disegani.

Siapa yang tidak kenal dengan Volkswagen. Sebut sahaja kereta Volkswagen, kita pasti terus terbayang kereta comel berbentuk kumbang. Takkan terlintas benda lain. Kalau ada pun, mungkin logo jenama ini yang cukup simple, VW.

Sejarah Ringkas Volkswagen Beetle, Si Comel Menjadi Gergasi Dunia Automotif

Sejarah Ringkas Volkswagen Beetle

Ramai yang tidak tahu, bahawa idea pembuatan kereta Volkswagen ini merupakan idea asal pemimpin yang dikenali sebagai pemimpin yang tegas berpendirian dan ditakuti dunia, iaitu Adolf Hitler!

Adolf Hitler adalah seorang nasionalis dan cintakan negaranya. Beliau tidak suka bergantung dengan orang lain, dan mahu negaranya berdiri dengan sendiri dan maju jauh ke depan berbanding negara lain.

Kerana itulah, Volkswagen yang turut dikenali sebagai Beatle ini diwujudkan dari idea beliau.

Idea Asal dari Pemimpin Ditakuti Dunia

Idea ini bermula apabila Hitler mendapati bahawa hanya 1 daripada 50 orang rakyat Jerman yang mampu memiliki kereta berbanding dengan 1 daripada 5 orang di Amerika Syarikat. Disebabkan itu, Hitler merasakan rakyat negaranya perlu menjadi lebih baik dari rakyat negara lain.

Kemudiannya, Adolf Hitler telah mengarahkan Dr. Ferdinand Porsche untuk merekabentuk Volkswagen pertama dengan konsep kereta untuk rakyat.

Dr. Ferdinand Porsche; berbangsa Jerman adalah pengasas jenama kereta Porsche dan juga terlibat dengan pembuatan Mercedes-Benz SS/SSK yang tersohor, selain menjadi jurutera utama penghasilkan kereta-kereta kebal terhebat tentera Nazi Adolf Hitler dalam Perang Dunia Kedua.

Ok, berbalik pada kisah kereta si Comel, VW ini ...

Adolf Hitler Mahu Rakyat Jerman Miliki Kereta, Hatta Kanak-Kanak Sekalipun

Pada tahun 1937, sebuah syarikat ditubuhkan oleh Kesatuan Perdagangan Nazi, Deutsche Arbeitsfront. Prototaip pertama kenderaan ini kemudian dipamerkan di Pertunjukan Motor Berlin pada 1938.

Bagi memastikan ramai rakyat Jerman boleh memiliki kenderaan kebangsaan ini, Hitler telah memperkenalkan satu skim simpanan mudah iaitu pembeli hanya perlu membayar hanya 5 Reichsmark seminggu.

Setelah simpanan mereka mencapai 990 Reichsmark, pembeli boleh mendapatkan kereta tersebut dan menyambung bayaran untuk tempoh 4 tahun. Lebih menarik lagi, kanak-kanak boleh turut serta dalam skim pembelian ini.

Menurut rekod yang ada, seramai 336,668 orang telah membayar 110 juta Reichsmark (matawang Germany) ke dalam akaun mereka. Tetapi malangnya mereka hanya sempat mengeluarkan beberapa buah kereta sahaja kerana perang dunia yang tercetus.

Dan tiada seorang pelanggan pun yang sempat memiliki kenderaan ini.

Menjadi Kilang Tentera Jerman, Kemudian Diambil-Alih Tentera British

Kilang ini kemudiannya dijadikan kilang untuk menghasilkan kenderaan untuk tentera Jerman, terutama kereta kebal dan kereta perisai terbaik selain persejataan berat waktu Perang Dunia Kedua.

Setelah perang dunia tamat, masa depan Volkswagen kembali menjadi tanda tanya.

Pihak British pada mulanya ingin menutup kilang ini kerana peranannya dalam menghasilkan peralatan ketenteraan. Idea ini kemudiannya ditentang oleh pegawai British iaitu Major Ivan Hirst kerana beliau melihat potensi yang ada pada syarikat ini.

Jika nak tahu, Major Ivan Hirst adalah yang mengetuai bahagian pembaikpulih kereta-kereta kebal dan kenderaan perisai Perang Dunia Kedua, berlokasi di Belgium. Beliau dan rakannya Kolonel Charles Radclyffe yang telah menjumpai kilang Volkswagen di Wolfsburg, yang sebelum ini tidak diendahkan oleh pihak Tentera Bersekutu Russia dan juga Amerika.

Kedua mereka inilah yang bertanggungjawab mengaktifkan kembali kilang kenderaan Volkswagen di situ, dan akhirnya menjadi kilang kenderaan untuk tentera British.

Pada tahun 1945, British telah menempah sebanyak 20,000 buah kenderaan untuk kegunaan selepas perang. Mereka diberikan 20 juta sebagai modal dan pada penghujung tahun tersebut kilang ini berjaya menghasilkan 58 buah kereta.

Tetapi jumlah ini tentunya sangat kecil. Mereka diarahkan untuk mengeluarkan sebanyak 1,000 buah kenderaan jika tidak kilang tersebut akan ditutup.

Sejarah Ringkas Volkswagen Beetle
Radclyfee Roadster

Salah satu kereta yang terkenal dikeluarkan oleh kilang ini ketika Pasca Perang Dunia Kedua ialah Radclyffe Roadster. Kedua-dua pegawai tentera British tersebut menggunakan kereta custom-build Volkswagen pada ketika itu.

Sejarah Ringkas Volkswagen Beetle

Sebenarnya, rekaan asal kereta Beetle adalah dari idea Béla Barényi. Kereta asal jenama ini dikenali sebagai Kafer di Jerman yang bermaksud 'Kumbang' atau Beetle.

Kereta ini antara rekaan yang meletakkan enjin kereta di bahagian belakang berbanding kenderaan konvensional yang lainya.

Kembali Menjadi Milik Rakyat Jerman

Pada Mei 1949, syarikat Volkswagenwerk AG telah diwujudkan oleh kerajaan British. Pada Oktober 1949, kilang Volkswagen tersebut dikembalikan kepada kerajaan Jerman, di bawah kepimpinan Heinz Nordhoff.

Melihat kepada kewujudannya sehingga ke hari ini, ianya membuktikan bahawa Volkswagen telah berjaya menempah namanya sendiri dalam industri automatif dunia, di sebali kisah perit yang terpaksa dilalui jenama ini.

Volkswagen kini merupakan salah sebuah pengeluar kereta terulung dunia. Malah, ia telah mengumpul peminatnya sendiri dan menjadi antara kereta berjenama berpengaruh dan berada pada kelasnya sendiri.

Kini syarikat ini bukan sahaja mengeluarkan kereta Volkswagen, tetapi ia juga turut menjadi pemilik kepada jenama-jenama mewah lain seperti Audi, Porsche, Lamborghini, Bentley, Bugatti dan banyak lagi.

Sumber: Pre67 Volkswagen, Wikipedia VW Beetle, Majalah Labur

Post a Comment

Previous Post Next Post
Rahsia Menjadi Kaya dengan Hartanah